Lindung 24 jam luas perlindungan keselamatan sosial langkaui kecederaan tempat kerja
29 June 2026 2026-06-29 9:46Lindung 24 jam luas perlindungan keselamatan sosial langkaui kecederaan tempat kerja
Lindung 24 jam luas perlindungan keselamatan sosial langkaui kecederaan tempat kerja
Fatin Nadirah dari Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) berkata, Lindung 24 jam memperluas perlindungan bagi pekerja yang sudah mencarum kepada Perkeso.
“Pekerja diberikan perlindungan lebih mwenyeluruh termasuk kemalangan berlaku di luar waktu kerja yang tidak berkait langsung dengan pekerjaan atau tugas mereka,” katanya kepada FMT.
Katanya, rangka kerja keselamatan sosial Malaysia selama beberapa dekad hanya meliputi kecederaan dan kematian ‘semasa dalam pekerjaan’, menyebabkan pekerja terdedah pada baki waktu harian mereka. Antara 2023 hingga Oktober 2025 sahaja, sebanyak 12,306 tuntutan ditolak kerana dianggap tidak berkaitan dengan kerja.
Ahli ekonomi Chung Tin Fah dari HELP University berkata, perlindungan untuk kemalangan yang tidak berkaitan kerja seperti tergelincir dan terjatuh di rumah, kecederaan sukan serta kemalangan ketika rekreasi boleh mengurangkan beban kewangan kepada isi rumah.
Dalam kes baru-baru ini, Arnold Nathanael Lister dari Penampang yang mengalami kecederaan tulang belakang selepas terjatuh di rumah layak menerima faedah hilang upaya sementara, fisioterapi dan pemulihan bawah Lindung 24 jam.
Dibiayai caruman pekerja
Lindung 24 jam dibiayai sepenuhnya oleh pekerja, berbeza dengan model Perkeso tradisional yang kebanyakannya dibiayai majikan. Caruman bermula pada 0.75% daripada gaji bulanan, meningkat kepada 1% pada tahun ketiga dan 1.25% mulai tahun keenam dan seterusnya.
Bagi pekerja yang bergaji antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan, caruman bulanan Perkeso mereka adalah antara RM22.50 hingga RM37.50, yang dipotong terus daripada gaji.
Majikan menyerahkan jumlah caruman itu kepada Perkeso bersama caruman bulanan lain yang biasa, membolehkan pekerja yang layak mendapat perlindungan tanpa perlu mengambil polisi berasingan.
Lindung 24 jam memberi perlindungan seragam kepada semua pencarum tanpa mengira umur selagi mereka masih bekerja, berbanding manfaat yang berbeza mengikut terma polisi individu dan tahap perlindungan.
Ia juga menyediakan manfaat seperti bayaran hilang upaya sementara dan sokongan pemulihan, membantu pekerja menghadapi kesan kewangan akibat kemalangan serta kembali bekerja.
Ruang penambahbaikan, jurang perlindungan
Fatin mengakui, peningkatan caruman akan mengurangkan pendapatan bersih; bagi pekerja berpendapatan rendah, “walaupun sedikit pengurangan boleh menjejaskan kelangsungan hidup mereka”.
Beliau berkata, inisiatif seperti Lindung 24 jam perlu disertakan dengan ‘agenda lebih menyeluruh untuk memperkukuh jaringan keselamatan sosial bagi seluruh populasi, sambil memastikan gaji meningkat seiring produktiviti’.
Katanya, skim itu juga pada asasnya memberi manfaat kepada pekerja yang sudah dilindungi bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, manakala ramai individu bekerja sendiri dan mereka yang berada di luar pengaturan pekerjaan formal masih berdepan jurang perlindungan.
Chung berkata, ujian sebenar skim itu hanya akan dapat dilihat selepas pelaksanaannya.
“Tiada sistem yang benar-benar kalis kegagalan, dan kita hanya akan mengetahui di mana jurang selepas melaksanakan skim ini. Penambahbaikan dan perubahan berterusan akan diperlukan,” katanya.
Source: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2026/06/29/lindung-24-jam-luas-perlindungan-keselamatan-sosial-langkaui-kecederaan-tempat-kerja
Latest Post
- KPM yakin graduan baharu IPGM perkukuh pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027
- Lindung 24 jam luas perlindungan keselamatan sosial langkaui kecederaan tempat kerja
- Melaka terus perkukuh pembangunan TVET untuk masa depan anak muda – Ab Rauf
- Hannah Yeoh mempengerusikan Mesyuarat Pelarasan Hala Tuju Pembangunan TVET Wilayah Persekutuan Labuan
- Kebolehpasaran graduan TVET setanding kualiti semasa