‘Dapat banyak A tapi merit rendah’
4 May 2026 2026-05-04 9:42‘Dapat banyak A tapi merit rendah’
TIDAK semestinya jika seseorang calon itu memperoleh 8A dan ke atas dalam SPM menjanjikan dia layak untuk menyambung pengajian ke universiti awam (UA). Sebaliknya, proses menentukan peluang kemasukan ke UA, banyak dipengaruhi oleh merit yang diperoleh.
Hal ini menjadi perbualan hangat dalam kalangan pelajar dan ibu bapa dalam media sosial, apabila ada yang memperoleh 7A tetapi meritnya lebih rendah berbanding murid dengan 4A.
Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Mohd Syaubari Othman, berkata dalam konteks kemasukan ke UA, sistem merit digunakan sebagai ukuran persaingan yang menggabungkan 90 peratus pencapaian akademik dan 10 peratus markah kokurikulum, sekali gus menjadi asas penilaian pemilihan calon ke peringkat pengajian tinggi.
Katanya, ramai yang menyangka sistem merit hanya bergantung pada bilangan A, tetapi sebenarnya ia lebih menyeluruh kerana mengambil kira prestasi akademik dan pembabitan kokurikulum.
“Sistem merit dibahagikan kepada dua komponen utama iaitu 90% markah akademik dan 10% markah kokurikulum.
“Markah akademik dikira berdasarkan keputusan SPM, setiap gred mempunyai nilai tertentu. Sebagai contoh, A+ diberi nilai tertinggi, diikuti A, A- dan seterusnya. Nilai ini akan dijumlahkan dan ditukarkan kepada peratus.
“Selepas itu, markah kokurikulum akan ditambah. Markah ini diperoleh daripada pembabitan pelajar dalam aktiviti seperti persatuan, sukan, badan beruniform serta jawatan kepimpinan di sekolah,” katanya.
Aktif kokurikulum
Mohd Syaubari berkata, biasanya markah kokurikulum berada dalam lingkungan tujuh hingga 10 peratus.
Namun, perkara paling penting yang perlu difahami ialah bukan semua subjek mempunyai kepentingan sama dalam pengiraan merit. Bagi kemasukan ke kursus tertentu, terutamanya dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), subjek seperti Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi memainkan peranan yang lebih besar.
Hal ini bermaksud pelajar yang memperoleh gred tinggi dalam subjek-subjek ini akan mempunyai kelebihan, walaupun jumlah A mereka lebih sedikit.
“Inilah sebab mengapa wujud situasi ada pelajar yang mendapat 4A 4B boleh mempunyai merit lebih tinggi berbanding pelajar yang mendapat 8A.
“Jika pelajar 4A 4B memperoleh A+ dalam subjek kritikal seperti Matematik Tambahan dan Sains, manakala pelajar 8A hanya mendapat A atau A- dalam subjek itu, sistem merit akan menganggap pelajar pertama lebih sesuai untuk bidang berkenaan,” katanya.
Selain itu kata Mohd Syaubari, pemilihan pakej mata pelajaran juga sangat mempengaruhi merit. Pelajar yang memilih kombinasi subjek yang selari dengan kursus yang ingin dipohon akan mempunyai peluang lebih tinggi.
Sebaliknya, pelajar yang mengambil subjek yang kurang relevan mungkin memperoleh merit yang lebih rendah walaupun keputusan keseluruhannya baik.
“Jadi, apa yang perlu difahami merit SPM bukan sekadar mengukur kecemerlangan umum, tetapi menilai kesesuaian pelajar dengan bidang yang dipilih.
“Oleh itu, pelajar perlu merancang pemilihan subjek dengan teliti, memberi fokus kepada subjek penting, dan aktif dalam kokurikulum bagi meningkatkan peluang melanjutkan pelajaran ke universiti awam,” katanya.
Satu sistem
Mengulas hal sama, Ketua Bahagian Kemasukan
Pejabat Pentadbiran Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Putra Malaysia, Mohd Firdaus Zakaria, terdapat kemungkinan masyarakat terutamanya ibu bapa, calon dan pihak sekolah tidak cukup terdedah dengan maklumat terkini berkenaan kaedah dan sistem diguna pakai bagi pemilihan pelajar khususnya ke UA.
Katanya, ramai masih beranggapan bilangan A yang diperoleh adalah tanda aras muktamad bagi proses pemilihan pelajar.
“Terma merit ini jika boleh ditafsirkan secara mudah adalah sistem pemarkahan bagi tujuan pemilihan pemilihan pelajar yang bersandarkan kepada kombinasi dua aspek iaitu pencapaian akademik pelajar dan pencapaian kokurikulum pelajar.
“Pengiraan 90 peratus merit bagi pencapaian akademik untuk calon lepasan SPM pula berbeza mengikut saluran kemasukan dan institusi,” katanya.
Mohd Firdaus berkata, sistem pengiraan merit Sistem UPU Online adalah berdasarkan pakej aliran pelajar sewaktu pengajian di peringkat SPM, berbeza dengan sistem pengiraan merit ke program Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang merujuk kepada jurusan yang dipohon calon.
Maksudnya, setiap jurusan berbeza sistem pengiraan merit, justeru sangat penting bagi pelajar-pelajar diberi pendedahan seawal masuk ke sekolah menengah didedahkan dengan sistem pengiraan merit ini.
” Kita tidak lagi mahu mendengar kisah-kisah tragis seperti calon lepasan aliran STEM A tidak mengambil mata Pelajaran Matematik Tambahan atau calon tidak mengambil mata pelajaran mengikut pakej alirannya yang mengakibatkan pengiraan merit mereka menjadi terlalu rendah.
“Jadi ibu bapa, guru-guru dan agensi kerajaan berkaitan perlulah sentiasa menyebar luas maklumat terkini berkenaan pengiraan merit ini kepada anak-anak dan pelajar,” katanya.
Hal ini bagi mengelak situasi murid hanya menyedari markah merit mereka rendah ketika memohon melanjutkan pengajian, sedangkan keadaan itu boleh dielak di peringkat awal.
Mohd Firdaus berkata, diharapkan dengan inisiatif penggabungan semua program prauniversiti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dalam masa terdekat akan menjadi anjakan paradigma kepada proses pemilihan pelajar ke UA.
Katanya hasrat untuk menyatukan semua sistem permohonan yang kini berasingan kepada hanya satu sistem dalam bentuk “single window and single offer” sahaja amatlah progresif dalam mengoptimumkan tawaran dan tempat kepada calon berdasarkan prestasi merit dan program yang bersesuaian buat mereka.
Source: https://www.bharian.com.my/amp/berita/pendidikan/2026/05/1541629/dapat-banyak-tapi-merit-rendah