TVET turun padang perkasa komuniti, kursus pendek buka peluang tambah kemahiran

TB-MASH UP_Komuniti MADANI_AWANI
Berita

TVET turun padang perkasa komuniti, kursus pendek buka peluang tambah kemahiran

REMBAU: Pembelajaran sepanjang hayat bukan lagi terhad di bilik kuliah, sebaliknya semakin diperluas ke peringkat komuniti apabila pelbagai kursus kemahiran dibawa terus ke kawasan luar bandar menerusi Program Mesra Komuniti MADANI @ Kampung Pedas Tengah, di sini.

Inisiatif Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menerusi Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Negeri Sembilan itu menghimpunkan lebih 200 penduduk setempat bagi mengikuti pelbagai kursus pendek yang disesuaikan dengan keperluan masyarakat.

Antara pengisian yang ditawarkan termasuk kursus bacaan dalam solat, pembuatan soya dan cincau, asas urutan tangan, pembuatan wayar sambungan, servis motosikal serta penetapan dan keselamatan telefon pintar, selain aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), keusahawanan dan kelestarian fasiliti.

Bagi peserta, pendekatan membawa kursus terus ke kampung bukan sahaja memudahkan akses kepada latihan, malah memastikan ilmu yang dipelajari dapat terus dimanfaatkan mengikut keperluan harian.

Pesara swasta, Hashim Ali, 70, berkata kursus penggunaan telefon pintar yang disertainya membuka perspektif baharu mengenai aspek keselamatan digital, terutama dalam mengenal pasti taktik penipuan dalam talian.

“Saya memang suka guna gajet-gajet macam ni. Jadi, bila saya nampak kursus ni dengan tajuk-tajuk penggunaan telefon tu, sangat menariklah untuk kita contohnya mengenalpasti scammer-scammer dalam telefon, dan juga cara-cara kaedah penggunaan telefon dengan secara pintar.

“Dan yang utamanya kita tak tahu yang telefon pintar ni banyak penggunaan dia,” ujarnya kepada AstroAWANI

Program tersebut melibatkan tujuh institusi POLYCC di Negeri Sembilan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan rakan strategik.

Sementara itu, Imam Masjid Kampung Pedas Tengah, Mohamad Firdaus Nordin, 35, menyifatkan kursus bacaan dalam solat sebagai inisiatif yang memberi nilai tambah kepada komuniti kerana membantu peserta memperbaiki bacaan dan penghayatan ibadah.

“Kursus ini memang banyak membantu masyarakat membetulkan bacaan dalam solat, memperbaiki solat serta menghayati ibadah. Kalau program seperti ini dibuat di komuniti, memang sangat bagus.

“Untuk kursus-kursus macam ni kan, kalau terus dilakukan untuk komuniti, memang sangat baguslah,”katanya.

Bagi pesara jururawat, Saudah Salih, 66, pula, sambutan yang diterima membuktikan masyarakat sentiasa dahagakan peluang menimba ilmu, khususnya kursus berbentuk kemahiran praktikal yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan secara berkala kerana permintaan daripada penduduk terhadap kursus kemahiran sentiasa menggalakkan.

“Saya minta sangat supaya pihak kolej sentiasa berurusan dengan pihak kami untuk menjalankan kursus secara rutin kerana memang ada permintaan daripada penduduk. Ilmu kemahiran seperti ini memang sangat diperlukan,” katanya.

Program Mesra Komuniti MADANI itu dilihat bukan sekadar mendekatkan masyarakat kepada TVET, malah memperkukuh budaya pembelajaran sepanjang hayat dengan membawa latihan dan kemahiran terus ke peringkat akar umbi.

Source: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tvet-turun-padang-perkasa-komuniti-kursus-pendek-buka-peluang-tambah-kemahiran

Tinggalkan fikiran anda di sini

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

ms_MYMS