TVET berimpak tinggi perkukuh bakat keselamatan siber
8 Julai 2026 2026-07-08 10:33TVET berimpak tinggi perkukuh bakat keselamatan siber
TVET berimpak tinggi perkukuh bakat keselamatan siber
KUALA LUMPUR: Latihan keselamatan siber perlu diperkasa berikutan setiap sektor kritikal negara termasuk perbankan, tenaga dan pertahanan, kini bergantung kepada sistem digital yang memerlukan perlindungan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, usaha itu perlu digerakkan menerusi agenda TVET Berimpak Tinggi dan Mampan (High Impact TVET) yang memenuhi keperluan industri.
“TVET Berimpak Tinggi dan Mampan menuntut peralihan daripada pendekatan latihan secara pukal kepada program yang berfokus, bertaraf industri serta mampu melahirkan graduan yang bertauliah, berkemahiran tinggi dan boleh diambil bekerja serta-merta,” katanya pada majlis pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU) antara SG TVET Group Berhad, Yayasan Mahir Malaysia (YMM), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Job Store Sdn. Bhd. di Kampus SG Academy Putra Majestik di sini, semalam.
Pemeteraian itu membabitkan kerjasama antara SG TVET Group Berhad dengan JPK, Yayasan Mahir Malaysia dengan JPK serta SG TVET Group Berhad (SG TVET) dengan Job Store bagi memperkukuh pembangunan latihan kemahiran dan membuka laluan penempatan pekerjaan kepada graduan.
JPK diwakili Ketua Pengarahnya, Dr. Kamaruzaman Md. Ali.
Sementara itu, Pengerusi Yayasan Mahir Malaysia, Datuk P. Sri Ganes berkata, program latihan keselamatan siber yang dibangunkan bersama BlackBerry antara program perintis TVET yang dilaksanakan dengan kerjasama industri bagi memenuhi keperluan semasa pasaran pekerjaan.
“Program keselamatan siber ini turut diselaraskan dengan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan kandungan latihan sentiasa relevan dan terkini, sekali gus memberi lonjakan kepada graduan TVET untuk menembusi pekerjaan berimpak tinggi,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SG TVET Group berkata, Yayasan Mahir Malaysia memperuntukkan sumbangan berjumlah RM150,000 bagi memperluas akses kepada latihan berimpak tinggi untuk belia di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM50,000 disalurkan bagi program latihan keselamatan siber bersama BlackBerry, manakala RM100,000 lagi untuk pelaksanaan kursus pendek kenderaan elektrik (EV) dan teknologi dron di Sandakan.
Majlis turut menghimpunkan pemain industri antarabangsa termasuk BlackBerry dalam bidang keselamatan siber, SIEMENS bagi mekatronik dan automasi industri serta CompTIA dalam teknologi komputer dan IT, di samping kerjasama Autotronics bersama MARii dan SEDA Malaysia bagi program EV dan tenaga solar.
SG TVET merupakan kolej TVET terawal di negara ini yang memperoleh akreditasi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi latihan dron serta pusat latihan terawal yang menawarkan program EV dan tenaga solar.
Menerusi model perkongsian awam-swasta bersama Jabatan Tenaga Manusia (JTM), kumpulan itu sudah melatih lebih 3,000 peserta dalam bidang dron dan EV di ADTEC JTM Perai, Kuala Lumpur, Sandakan, Miri dan Melaka, termasuk pelancaran SIEMENS Industry Training Hub di ADTEC JTM Perai pada 2024.
Sejak 2013, program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) antarabangsa kumpulan itu telah menarik lebih 500 pelajar dari luar negara ke SG Academy. – UTUSAN
Source: https://www.utusan.com.my/berita/2026/07/tvet-berimpak-tinggi-perkukuh-bakat-keselamatan-siber/
Latest Post
- TVET berimpak tinggi perkukuh bakat keselamatan siber
- TalentCorp Launches Largest Wanita MyWira WIN Cohort to Strengthen Malaysia’s Future Women Leaders
- AI cannot replace wisdom as Malaysia pushes holistic education, says Fadhillah
- KPM yakin graduan baharu IPGM perkukuh pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027
- Lindung 24 jam luas perlindungan keselamatan sosial langkaui kecederaan tempat kerja