Sasar 70 peratus lepasan SPM sertai TVET menjelang akhir RMK13

0503-NSL-ZAHID-TVET-1
Berita

Sasar 70 peratus lepasan SPM sertai TVET menjelang akhir RMK13

KUALA LUMPUR – Penetapan 70 peratus penyertaan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) disasarkan menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penetapan sasaran itu juga selaras dengan hala tuju baharu pembangunan negara yang terus menjadikan kemahiran dan teknologi sebagai teras pertumbuhan ekonomi.

Sehingga Disember 2025, kadar penyertaan dalam bidang TVET telah mencapai 53.9 peratus, sekali gus menunjukkan perkembangan positif ke arah mencapai sasaran tersebut.

“Bagi mengiktiraf potensi pelajar tahfiz, mesyuarat turut bersetuju bahawa pelajar tahfiz yang telah melengkapkan hafazan serta memiliki kelulusan Bahasa Melayu dan Sejarah akan diberikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 4 yang setara dengan program diploma.

“Langkah ini membuka laluan baharu kepada lepasan tahfiz untuk menyertai bidang kemahiran profesional serta memperluaskan peluang kerjaya mereka dalam pelbagai sektor industri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri turut memaklumkan, beberapa keputusan strategik penting dicapai menerusi mesyuarat bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan serta memperkukuh ekosistem TVET negara.

Antaranya, Program Digital Freelancing TVET bersama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bagi membuka peluang kepada graduan TVET menjana pendapatan melalui ekonomi gig digital global.

Selain itu, program Rintis TVETPreneurs dengan kerjasama Management and Science University (MSU) bagi melahirkan usahawan dalam kalangan graduan TVET melalui latihan dan bimbingan industri serta memperluaskan Program FEN PROAKTIF 2.0 bagi meningkatkan literasi kewangan pelajar TVET.

“Peranan PERHEBAT akan diperkukuhkan sebagai pusat latihan TVET bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia yang bakal bersara.

“TVET Pertanian akan menjadi keutamaan baharu bagi memperkukuh pembangunan bakat dalam sektor agromakanan serta melonjakkan produktiviti dan inovasi dalam industri pertanian negara,” ujarnya lagi.

Beliau turut memaklumkan, Sambutan Hari TVET Negara 2026 akan berlangsung pada 5 hingga 7 Jun 2026 di Dataran Putrajaya.

Source: https://berita.rtm.gov.my/nasional/senarai-berita-nasional/senarai-artikel/sasar-70-peratus-lepasan-spm-sertai-tvet-menjelang-akhir-rmk13/

Tinggalkan fikiran anda di sini

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

ms_MYMS