MARA komited teroka lebih banyak peluang bina laluan antarabangsa kepada penuntutnya

mara_1771027230
Berita

MARA komited teroka lebih banyak peluang bina laluan antarabangsa kepada penuntutnya

KUALA LUMPUR: MARA terus komited meneroka peluang kerjasama strategik dalam bidang pendidikan tinggi dan

Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di luar negara untuk terus membuka lebih banyak laluan antarabangsa kepada penuntutnya.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata biarpun MARA mempunyai 345 institusi pendidikan dalam negara, pendedahan global tetap menjadi keutamaan.

“Setiap tahun ribuan pelajar MARA dihantar ke luar negara bagi menimba pengalaman, idea baharu serta perspektif antarabangsa supaya mereka kembali sebagai modal insan yang lebih proaktif dan berdaya saing,” katanya di Facebook beliau.

Beliau yang ketika ini mengetuai delegasi MARA dalam lawatan ke Sydney, Australia berkesempatan mengadakan pertemuan bersama Menteri Pendidikan Australia, Jason Clare, bagi meneroka peluang kerjasama strategik dalam bidang pendidikan tinggi dan TVET antara MARA dan institusi-institusi pendidikan terkemuka di sana.

“Dalam perbincangan ini, saya turut mengemukakan cadangan agar diberikan diskaun kadar yuran pengajian yang lebih kompetitif dapat dipertimbangkan oleh pihak universiti di Australia supaya lebih ramai anak-anak MARA berpeluang melanjutkan pengajian di sini.

“Saya juga mencadangkan model ‘Twinning Programme’ diperluaskan, iaitu sebahagian tempoh pengajian dilaksanakan di institusi MARA dalam negara seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), sebelum menyambung baki pengajian di Australia bagi memberi fleksibiliti serta mengurangkan kos keseluruhan pengajian tanpa menjejaskan kualiti akademik,” katanya.

Fokus kerjasama lain merangkumi agenda TVET kata beliau, termasuk pertukaran kepakaran tenaga pengajar, pemindahan teknologi dan kolaborasi latihan industri selari dengan usaha kerajaan memperkasa agenda TVET sebagai laluan utama kerjaya masa hadapan.

“Sepanjang lawatan minggu ini, saya akan mengadakan pertemuan bersama kepimpinan universiti terkemuka seperti Monash University, RMIT University, University of Melbourne, University of Sydney dan UNSW Sydney,” katanya.

Turut bersama dalam lawatan itu, Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Megat Zulkarnain Omardin; Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman; Presiden UNIKL, Prof Ir Dr Azman Senin serta Naib Canselor UPTM, Prof De Sharifah Syahirah Sy Shiekh.

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/02/1509436/mara-komited-teroka-lebih-banyak-peluang-bina-laluan-antarabangsa?utm_source=BHWhatsAppChannel&utm_medium=Traffic&utm_campaign=News

Tinggalkan fikiran anda di sini

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

ms_MYMS