KESUMA komited realisasikan aspirasi TVET 2.0 melalui dana RM50 juta

MGF26042026-RAMANAN-FUTUREJOB-17-1024x683
Berita

KESUMA komited realisasikan aspirasi TVET 2.0 melalui dana RM50 juta

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) komited memastikan peruntukan sehingga RM50 juta daripada dana Program Berimpak Tinggi di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjayakan agenda TVET 2.0 yang diumumkan kerajaan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman peruntukan tersebut sempena Sambutan Hari TVET Negara 2026.

Menurut beliau, dana berkenaan akan digunakan bagi melaksanakan program-program berimpak tinggi yang mampu memperkasa perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta mengarusperdanakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan utama pembangunan bakat dan kerjaya negara.

Katanya, inisiatif itu turut membantu memperkukuh ekosistem pembangunan kemahiran negara bagi memenuhi keperluan tenaga kerja masa hadapan yang semakin mencabar dan dinamik.

“Peruntukan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam membangunkan bakat masa hadapan negara yang berdaya tahan, berkemahiran tinggi dan sejajar dengan keperluan industri.

“Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi Pelan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menekankan pembangunan modal insan sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ramanan berkata, peruntukan yang diumumkan itu diyakini mampu membuka lebih banyak peluang kepada golongan belia, pekerja dan usahawan PMKS untuk meningkatkan kemahiran serta menyertai sektor ekonomi bernilai tinggi.

Beliau berkata, langkah tersebut juga akan membantu negara memenuhi permintaan terhadap tenaga kerja mahir yang semakin meningkat sekali gus memperkukuh daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan dan hab bakat serantau.

Menurutnya, dana itu akan disalurkan bagi pelaksanaan program-program berimpak tinggi di bawah penyelarasan Majlis TVET Negara (MTVET) dan PTPK dengan memberi tumpuan kepada sektor strategik termasuk Elektrik dan Elektronik (E&E), ekonomi hijau, ekonomi biru serta ekonomi jingga yang dikenal pasti sebagai bidang pertumbuhan baharu berpotensi tinggi.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik penegasan Perdana Menteri bahawa peruntukan RM50 juta tersebut perlu diterjemahkan kepada tindakan yang memberi impak melalui kerjasama erat antara kerajaan, industri dan institusi latihan.

Katanya, sinergi berkenaan akan memastikan program TVET sentiasa responsif terhadap perkembangan teknologi baharu, keperluan pelabur dan permintaan tenaga kerja berkemahiran tinggi, sekali gus mempercepatkan transformasi ekosistem TVET serta memperkukuh agenda pembangunan bakat Malaysia MADANI. – MalaysiaGazette

Source: https://malaysiagazette.com/2026/06/06/kesuma-komited-realisasikan-aspirasi-tvet-2-0-melalui-dana-rm50-juta/

Tinggalkan fikiran anda di sini

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

ms_MYMS