AI lonjak peluang kerjaya generasi muda

WhatsApp-Image-2026-05-03-at-7.13.04-PM
Berita

AI lonjak peluang kerjaya generasi muda

GOMBAK: Penguasaan kecerdasan buatan (AI) menjadi kelebihan buat golongan muda dalam memperluas peluang kerjaya, khususnya dalam industri kreatif yang semakin berkembang.

Presiden Persatuan Kreatif AI Malaysia (PeKA), Azizan Rubaan berkata, AI bukan lagi sekadar pilihan, sebaliknya keperluan bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam pasaran kerja semasa.

Katanya, pelajar yang mempunyai kemahiran AI bersama asas kukuh mempunyai nilai tambah lebih besar berbanding mereka yang hanya bergantung kepada kemahiran konvensional.

“Pelajar yang menguasai AI bersama kemahiran asas mempunyai kelebihan lebih besar dalam pasaran kerja, malah berpotensi dipilih majikan berbanding calon yang tidak mempunyai pengetahuan AI.

“Kalau ada dua calon dengan kemahiran sama tetapi seorang tahu menggunakan AI, sudah tentu majikan akan pilih yang ada AI sebab kerja boleh dibuat lebih cepat dan lebih baik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Digital Game Art Innovation Showcase 2026 di sini hari ini.

Menurutnya, AI perlu digunakan secara beretika dan berlandaskan asas kukuh supaya teknologi itu benar-benar menjadi medium penambahbaikan, pengkomersialan dan peningkatan kebolehpasaran.

“PeKA diwujudkan bagi menyatukan akademik, pelajar dan industri untuk membangunkan penggunaan AI secara lebih tersusun, selain memastikan pembangunan bakat selari dengan kehendak industri.

“PeKA turut bekerjasama dengan pelbagai institusi termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam membangunkan garis panduan penggunaan AI melibatkan aspek etika, budaya dan kesesuaian masyarakat tempatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Festival Seni Kreatif dan TVET Malaysia (ANIFEST Malaysia), Amir Hamzah Hashim berkata, perkembangan AI dan teknologi moden membuka peluang lebih luas kepada generasi muda untuk meneroka pelbagai cabang industri kreatif.

Menurutnya, berbeza dengan era awal animasi yang serba terbatas, pelajar hari ini mempunyai akses lebih mudah untuk memperkaya kemahiran dan memperluaskan potensi diri.

“Animasi kini tidak lagi terhad kepada televisyen semata-mata, sebaliknya meliputi pelbagai cabang seperti pembangunan permainan video, seni reka dan pelbagai bidang kreatif lain.

“Pelajar perlu berani meneroka lebih banyak ruang dan membina jaringan kukuh bagi menembusi pelbagai sektor industri yang semakin berkembang,” katanya. – UTUSAN

Source: https://www.utusan.com.my/nasional/2026/05/ai-lonjak-peluang-kerjaya-generasi-muda/

Tinggalkan fikiran anda di sini

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

ms_MYMS